KUALA LUMPUR: Lima puluh kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Itulah jumlah kerusi yang bakal ditandingi Parti Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) pada Pilihan Raya (PRU) ke-14, meningkat sebanyak 41 kerusi berbanding hanya sembilan kerusi pada PRU lalu.

Tumpuan Berjasa yang akan bertanding atas platform Gagasan Sejahtera yang turut terdiri daripada Pas dan Ikatan adalah  di kawasan majoriti Melayu yang  diwakili Ahli Parlimen bukan Islam.

Parti yang bakal menggunakan logo bintang putih berlatarbelakangkan warna hijau tua itu tidak akan bertanding di kawasan yang menampilkan calon Melayu.

Menafikan bahawa tindakan itu bersifat rasis, Timbalan Presidennya, Brigader Jeneral (B) Datuk Hashim Karim  berkata, keputusan itu diambil demi kepentingan bangsa.

“Suka tidak suka setiap bangsa pasti akan mempertahankan bangsa masing-masing,” katanya.

“Kita mahu pertahankan kuasa politik orang Melayu. Apa lagi yang tinggal selain kuasa politik? Kalau  politik pun hancur, kita akan hilang terus kuasa,” katanya.

Namun, beliau menyatakan belum lagi mengenal pasti kawasan yang hendak ditandingi, tetapi pasti tidak akan bertanding di Kelantan dan Terengganu.

“Jika Barisan Nasional, Pas, hantar calon Melayu, kita tidak akan bertanding di kawasan itu. Sebaliknya kalau DAP, MCA, MIC hantar calon di kawasan majoriti Islam, kita akan hantar calon di kawasan berkenaan,” katanya dalam sidang media di Hotel Putra di sini, semalam.

Beliau turut memaklumkan Gagasan Sejahtera akan menyertai PRU-14 sebagai blok ketiga. – Sarawakvoice