PUTRAJAYA:  Di sebalik gejala rasuah yang berlaku dalam kalangan penjawat awam, terutamanya yang berjawatan tinggi, Perdana Menteri mengingatkan agar penjawat awam tidak mengambil hak rakyat dengan terbabit dalam gejala rasuah.

Kes yang menggemparkan negara membabitkan  skandal ‘watergate’ di Sabah dan terbaharu Ketua Setiausaha sebuah kementerian.

Datuk Seri Najib Razak  mengulas penahanan anggota pegawai tinggi kerajaan yang terbabit dalam amalan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Kedua-dua kes menyaksikan bagaimana pegawai terbabit menyimpan wang tunai, membeli sehingga 150 beg tangan mewah untuk isteri, dan menyimpan emas, dan membeli tanah yang di luar kemampuan jika diukur dari segi pendapatan bulanan mereka.

“Langkah yang diambil sehari dua ini oleh SPRM mengingatkan pada kita bahawa jangan ambil hak rakyat. Ini rakyat punya,” kata  Datuk Seri Najib Razak amanat pertama tahun ini kepada penjawat awam di Himpunan Bulanan Warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Beliau menegaskan penjawat awam tidak harus mengambil hak rakyat sebab kerajaan buat peruntukan, program  dan bajet untuk rakyat.

“Kalau berlaku ketirisan, rakyat akan hampa dan hilang keyakinan,” ujarnya. – Sarawakvoice