Merenung gambar Najib dan anaknya berbasikal di luar negara

KUALA LUMPUR:  Pegawai Khas isteri Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor melihat isu berkaitan kritikan pihak tertentu terhadap percutian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di luar negara dari sisi yang berbeza.

“Saya memandang dari sisi yang berbeza. Ayah dan anak beriadah dengan mengayuh basikal dan seperti mana orang lain, mereka mahu lakukan aktiviti bersama.

“Apatah lagi mereka berdua memang sangat akrab, namun kekangan tugas si ayah tidak memungkinkan aktiviti sebegini dapat selalu dilakukan hanya waktu si ayah bercuti barulah mereka dapat melakukan aktiviti bersama,” kata Rizal dalam catatan Facebooknya, sambil menambah bahawa beliau lama merenung gambar Najib dan anaknya mengayuh basikal.

najib-basikal01

“Dapat saya lihat kepuasan diraut wajah si ayah dan anak kerana dapat melakukan aktiviti bersama,” ujarnya.

“Tidak seperti orang lain, ayah mempunyai banyak masa diluangkan bersama keluarga. Si ayah bekerja 7 hari seminggu, keluar rumah pagi hari dan pulang lewat malam,” tambahnya.

“Dalam setahun mungkin 10 hari sahaja si ayah benar-benar dimiliki oleh keluarga. 355 hari lagi mereka terpaksa berkongsi ayahnya dengan rakyat,” kata Rizal  lagi.

“Renungkanlah…ada orang untung dapat ayah berada… ada orang untung dapat ayah punya banyak masa… ada orang bertuah masih ada ayah,” jelasnya mempertahankan percutian Najib di Australia baru-baru ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, percutian Najib sekeluarga di Australia menunjukkan mereka terpisah daripada realiti sebenar kehidupan rakyat. – Sarawakvoice

Leave a Reply