KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun  Dr Mahathir Mohamad masih berfikiran ‘old school’ dan tidak sedar bahawa dunia telah berubah berbanding ketika beliau menjadi Perdana Menteri dahulu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, kenyataan Dr Mahathir menunjukkan beliau masih berfikiran ‘orang lama’ dan tidak menyedari bahawa dunia sudah berubah sejak beliau menjadi Perdana Menteri 14 tahun dahulu.

Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun, dari 1981 hingga 2003.

Salleh yang mengulas catatan blog di Mahathir baru-baru ini berkata, sejak 1990-an, China yang merupakan gergasi tidur sejak beratus tahun lamanya, tiba-tiba bangun dan sebaik bangkit, tiada apa yang dapat menahan mereka.

“Adalah usaha yang sia-sia untuk menahan langkah besar China maju ke hadapan seperti juga sia-sia untuk menghalang penjajahan Barat 500 tahun dahulu. China sedang bergerak maju dan tiada siapa yang boleh menghalang mereka,” kata Salleh dalam catatan blog beliau http://sskeruak.blogspot.my/ hari ini.

China, kata Salleh yang juga Bendahari Umno, membuat pelaburan di seluruh dunia, mewujudkan perkongsian, dan membeli aset yang belum pernah berlaku dalam sejarah, dan ini merupakan fenomena yang perlu diterima negara seperti Malaysia atau ia akan ketinggalan dan binasa.

Salleh dan Dr Mahathir saling mengemukakan kritikan, dengan Mahathir mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, manakala Salleh, sesuai dengan jawatannya, mengkritik Dr Mahathir, dan menangkis segala tuduhan beliau.

Dr  Mahathir  yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) begitu kritis terhadap kepemimpinan Najib, dan disikap pemerhati sebagai mempunyai niat untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

Komen beliau kadangkala dilihat terlalu peribadi, tidak objektif dan tidak profesional.

“Kita telah diberi amaran bahawa walaupun globalisasi mempunyai sisi baik ia juga bermakna penciptaan dunia tanpa sempadan dan berakhirnya dasar fahaman perlindungan,” kata Salleh.

Menurut Salleh, Malaysia  tidak boleh mengharapkan Pelaburan Langsung Asing (FDI) atau wang mengalir masuk ke negara kita tetapi kita tidak bersedia untuk melepaskan kawalan aset tertentu.

“Inilah realiti ‘dunia baharu’ dan Dr Mahathir perlu sedar perkara ini. Satu lagi pilihan ialah untuk mengamalkan dasar ‘tutup pintu’ dan bersedia untuk mundur dan kekal miskin,”  sindir Salleh terhadap Dr Mahathir. – Sarawakvoice