PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semalam mengesahkan satu lagi kes kanak-kanak yang mengalami komplikasi prosedur berkhatan baru-baru ini.

Kes ketiga ini katanya, melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun yang telah menjalani prosedur berkhatan di surau berhampiran rumahnya dalam majlis berkhatan beramai-ramai pada 25 November 2016.

“Kanak-kanak tersebut dirujuk ke Jabatan Kecemasan di Hospital Selayang dua hari selepas itu, iaitu pada 27 November 2016 setelah ibu bapanya dinasihatkan membawa kanak-kanak tersebut untuk mendapatkan rawatan di sana.

“Ibu bapa mendapati berlakunya pendarahan pada kemaluan dan air kencing kanak-kanak tersebut mengalir keluar dari lubang di bahagian bawah batang kemaluan (fistula korona), akibat kecederaan kepada saluran kencing.

Jelasnya, setelah diperiksa di Jabatan Kecemasan Hospital Selayang, adalah didapati bahawa tiada pendarahan aktif di kemaluan.

Ibu bapa malah telah diberi penjelasan oleh Pakar Pembedahan Urologi Kanak-kanak bahawa rawatan pembedahan seelok-eloknya dilakukan setelah bengkak surut dan setelah saluran darah ke kepala kemaluan menjadi lebih lancar.

“Fistula korona tersebut akan dirawat dengan pembedahan setelah tisu-tisu sekelilingnya sembuh.

Kanak-kanak tersebut katanya, telah diperiksa secara rapi sekerap tiga kali sehari semasa di wad di Hospital Selayang.

“Namun begitu, ibu bapa pesakit memutuskan untuk mendapat pendapat lain daripada pakar di hospital swasta dan telah menandatangani pelepasan keluar dari hospital atas tanggungan risiko sendiri.

Pihak Hospital Selayang telah memberikan ibu bapa catatan rujukan ringkas untuk hospital swasta yang berkenaan bagi menjelaskan status pesakit, selain memaklumkan kepada ibu bapa bahawa mereka boleh datang semula untuk mendapatkan rawatan susulan pada bila-bila masa.

KKM berkata Dr Noor Hisham  sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai kes ini.

“Seperti dimaklumkan sebelum ini, prosedur berkhatan ini merupakan prosedur yang ringkas, namun komplikasi daripada prosedur ini mungkin parah dan membawa padah kepada pesakit.

“Semua pengamal kesihatan yang menjalankan prosedur berkhatan adalah bertanggungjawab untuk memastikan mereka mempunyai tahap kompetensi dan pengalaman yang mencukupi untuk menjalankan prosedur ini.

“Mereka diingatkan bahawa sebarang komplikasi yang terjadi adalah di bawah tanggungjawab masing-masing sebagai pengamal kesihatan.

Untuk rekod, Sarawak pernah mencatatkan kes serupa, dan pihak jabatan telah bertindak terhadap pembantu perubatan yang terlibat. – Sarawakvoice