FAS tidak mimpi keputusan luar biasa dalam Liga Super – Presiden

KUCHING:  “Kami (FAS) tidak mengimpikan bulan dan bintang kerana kami sedar, pasukan ini pasukan muda dan masih baharu,” kata Datuk Posa Majais, Presiden  Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) yang baharu, ketika diminta mengulas peluang pasukan Ngap Sayot dalam Liga Super musim ini.

Menurutnya, dengan 90 peratus merupakan pemain muda, dan pemain import kesemuanya baharu, beliau tidak mengharapkan  podium untuk anak-anak buahnya.

“Cukuplah berada di kedudukan yang lebih baik dan selesa berbanding kedudukan kelapan dari senarai liga pada musim lalu.

“Yang penting kita mahu kekal bersaing di dalam Liga Super,” jelasnya lagi.

Kecuali dua pemain import yang masih belum dimuktamadkan, rata-rata anak buah David Usop ini terdiri daripada mereka yang berusia sekitar 24 tahun.

Kata Posa, pada musim ini pasukan Ngap Sayot masih memerlukan khidmat pemain luar, dengan dua daripadanya telah dimuktamadkan.

Sarawak memerlukan tambahan seorang lagi pemain import di barisan pertahanan selepas pemain importnya dari Liberia pada musim lalu, Teah Dennis gagal dalam ujian kesihatan.

“Tetapi selepas ini kita akan berusaha untuk menambahkan jumlah pemain tempatan, kerana kita yakin akan kemampuan mereka.

“Hanya sebelum ini mereka kurang diberi peluang dan pendedahan,” katanya lagi.

Diminta mengulas kedudukan FAS, setelah kebanyakan persatuan negeri lain berhadapan masalah kewangan, Posa yakin Sarawak tidak akan berhadapan isu tersebut.

“Insya-Allah kita akan dapat mengharungi musim ini dengan tenang tanpa masalah kewangan,” katanya lagi.

Pada kali ini, David Usop telah diberi kepercayaan sebagai Ketua Jurulatih pada awal musim, dan akan bergandingan dengan Abdul Wahet Uji, sebagai Pengarah Kejurulatihan.

Beliau akan dibantu oleh Pengiran Bala dan Stanley Frazier sebagai Penolong Ketua Jurulatih. – Sarawakvoice

Leave a Reply