KUCHING: Penangkapan dua individu termasuk seorang Ketua Setiausaha kementerian berstatus Datuk berkait kes rasuah baru-baru ini menunjukkan komitmen dan ketegasan kerajaan untuk membanteras gejala tersebut, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusuf.

“Dari dahulu lagi, rasuah adalah sesuatu yang perlu kita bendung dan tindakan bersepadu perlu diambil melibatkan semua ‘stakeholders’,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan pejabat cawangan TM Tours and Travel pagi tadi.

Katanya, di kementeriannya, apabila beliau mula masuk setelah diberi amanah, tindakan pertama yang dilakukan adalah membuat akujanji dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita menandatangani akujanji bahawa kita tidak akan terlibat dalam apa jua salah guna kuasa atau rasuah.

“Kita merupakan kementerian pertama yang melakukan akujanji ini yang turut melibatkan semua agensi dan pegawai kanan kementerian, termasuk saya sendiri,” katanya lagi.

Beliau memuji langkah SPRM, tetapi tindakan suruhanjaya itu sahaja tidak mengcukupi.

“Ia hendaklah bermula dari setiap diri kita. Maknanya setiap orang perlu memainkan peranan.

“Kepada orang politik, jangan dipolitikkan apabila kita berusaha untuk membanteras gejala buruk ini. Ia memerlukan tindakan bersepadu melibatkan semua pihak.

Tegasnya lagi, ketika proses akujanji itu, semua pegawai kanan kementerian telah membuat pengisytiharan harta kepada Ketua Setiausaha Negara manakala Menteri dan Ahli Parlimen Barisan Nasional kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

“SPRM ada akses langsung kepada semua maklumat harta yang kita ada,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice