Cabaran utama Shahrir pulihkan keyakinan pengundi di rancangan Felda kepada BN

KUALA LUMPUR: Cabaran utama pengerusi Felda yang baharu,  Tan Sri Shahrir Abdul Samad  adalah untuk memulihkan Felda dan keyakinan pengundi warga Felda di 317 tanah rancangan bagi 54 daripada 222 parlimen menjelang Pilihan raya Umum (PRU) ke-14, kata Pengerusi Hal Ehwal Felda Pas Pusat, Naraza Muda.

Pada PRU-13, 51 kawasan Parlimen  dimenangi Barisan Nasional  (BN) dan menjadikan kawasan Felda sebagai aset simpanan tetap BN.

Katanya, pelantikan Shahrir menggantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai pengerusi Felda  mengesahkan ada kepincangan yang sangat besar melanda Felda.

“Lagi pelik dan menghairankan apabila Tan Sri Isa Samad masih lagi dikekalkan menerajui FGV ketika desakan penyingkiran beliau sudah tidak dapat sembunyikan lagi. Tidak pernah peneroka Felda mendesak kerajaan singkirkan Pengerusi Felda sebelum ini,” katanya.

“Sampai ada pegawai yang sanggup dipecat dan ada pula yang membuat ugutan terbuka akan meninggalkan Umno jika pimpinan tertinggi Felda tidak berubah sebelum 1 Januari 2017,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, sudah tentunya  Shahrir akan memberi perhatian kepada barisan kepemimpinan pengurusan Felda sebagai langkah pertama.

“Semua perniagaan teras akan diteliti serta kewangan semasa sebenar Felda akan diberi penekanan sebagai langkah awal beliau memulihkan keyakinan 2 juta warga Felda dan rakyat Malaysia,”’ tambahnya.

Felda yang menjadi pemegang saham terbesar FGV, sudah tentu akan menghadapi kesan besar daripada turun naik saham FGV.

“Tan Sri Shahrir  juga akan menghadapi jalan sukar untuk memastikan FGV mampu memberi pulangan dan kebaikan kepada Felda selagi Tan Sri Isa masih menduduki kerusi Pengerusi FGV,” ujarnya

“Dengan dilema hutang ratusan ribu ringgit direkodkan kepada akaun peneroka yang sudah bergelar warga emas, pengurusan tanam semula yang banyak masalah, penjagaan ladang oleh Felda Technoplant yang teruk  gagal disembunyikan lagi oleh pengurusan Isa sebelum ini menambahkan lagi tugasan, cabaran pengerusi yang baharu,” katanya. – Sarawakvoice

Leave a Reply