Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat tangkapan lagi.  Pada minggu lalu, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd Arif Ab Rahman dan dua anak lelaki beliau ditahan bersama-sama dengan wang tunai bernilai sebanyak RM3 juta, jongkong emas, jam mewah dan 150 beg tangan mewah.

Sumber daripada Bernama turut melaporkan bahawa suspek-suspek berkenaan dipercayai mempunyai lebih 10 lot tanah atas nama anggota keluarganya di sekitar Lembah Klang, namun SPRM masih melakukan pengesahan serta menilai tanah terbabit.

Ada orang berkata, sebenarnya terdapat ramai lagi ‘Datuk Mohd Arif’ dalam jabatan kerajaan. Dan mereka perlu dikeluarkan daripada perkhidmatan awam dengan dijatuhkan hukuman yang setimpal.

Amalan korupsi berskala besar dipercayai dengan mudah akan memusnahkan ekonomi dan melebarkan lagi jurang defisit kepercayaan terhadap kerajaan yang semakin menyusut.

Membanteras korupsi bukan kerja mudah. Kerana itu agensi yang terlibat dalam membanteras rasuah perlu diberi pengiktirafan dan penghormatan yang tinggi. Sehubungan itu, pengumuman Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki bahawa SPRM memberi fokus terhadap pegawai kanan kerajaan dalam bidang sensitif seperti perolehan, penguatkuasaan, syarikat milik kerajaan dan sektor perbankan amat dialu-alukan.

Pada tahun lalu, pengerusi SPRM,  Datuk Abu Kassim Mohamed mengadakan beberapa siri operasi untuk memerangi rasuah. Sebanyak 982 kertas siasatan dibuka, 932 individu ditahan dan 258 orang telah didakwa di mahkamah.

Usaha tersebut disambung oleh pengarah baharu SPRM,  Datuk Dzulkifli Ahmad yang memulakan tugas semenjak Ogos tahun lalu. Antara kejayaan utama SPRM ialah menangkap Pengarah Jabatan Air Sabah yang mencatatkan sejarah sebagai skandal rasuah paling besar dalam sejarah SPRM.

Tangkapan terbaharu oleh SPRM sedikit banyak berjaya mengubah persepsi buruk yang sedang dilemparkan terhadap badan itu oleh seorang mantan pegawai kanan yang memilih untuk bersara awal.

Di bawah kepemimpinan baharu, diharap SPRM  dapat melahirkan gagasan untuk merubah dan membina semula SPRM yang banyak tercemar dengan persepsi negatif yang berpunca daripada pegawai-pegawai SPRM sendiri yang memilih untuk berada pada arah dan alur yang songsang.

Perkhidmatan awam ialah tonggak utama negara. Dalam konteks Malaysia, ia ialah citra dan gapura yang menjaga kepentingan bangsa. Perkhidmtan awam tidak sama dengan institusi lain, ia mesti mempunyai roh untuk memancarkan imej sebagai organisasi yang bersih dan bermartabat.

SPRM ialah raksasa yang diberi peranan untuk membersihkan agensi kerajaan dan negara daripada amalan rasuah. Agenda utama SPRM ialah membersihkan perkhidmatan awam daripada gejala korupsi. Sekiranya amanah itu tidak dilaksanakan, kewujudan SPRM sama sekali tidak relevan buat negara ini.

Untuk itu, SPRM harus berjiwa besar. Berpandukan kebijaksanaan masa lalu yang disulam pendekatan terbaharu, SPRM harus buktikan bahawa mereka ialah harta kepada generasi akan datang.