Amanah setuju perkasakan Mahkamah Syariah dalam RUU355 melalui Parlimen

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) pada dasarnya bersetuju dengan usaha memperkasa Mahkamah Syariah.

Untuk itu Amanah memberikan pandangan dan cadangan pindaan yang konstruktif berkaitan usul persendirian RUU355 yang dibawa Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam kenyataan medianya kepada Sarawak Voice pada Isnin, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, satu usul mengandungi cadangan bagi mencapai maksud memperkasa peranan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud pada sesi belanjawan tahun lepas.

Kandungan dan maksud usul tersebut adalah jelas dan nyata.

“Pendirian serta cadangan Amanah berhubung usul RUU355 diberikan di Parlimen apabila usul ini diterima untuk dibahaskan pada mana-mana sesi parlimen akan datang,” kata Salahuddin.

Amanah menurut Salahuddin, berpandangan Parlimen sebagai pentas paling sesuai untuk usul ini dibentang dan dibahaskan. – Sarawakvoice