15 rumah musnah dalam kebakaran di Kuala Baram, bomba lawan api lebih tiga jam

MIRI: Sebanyak 15 buah rumah musnah dalam satu kebakaran besar di Kampung Muhibbah di Kuala Baram dekat sini awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan berkata, kejadian berlaku di kawasan kejiranan setinggan.

“Bomba menerima panggilan kecemasan sekitar jam 2.09 pagi dan dua jentera serta sebuah trailer tangki air diatur gerak ke lokasi dengan kekuatan 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng dan Miri.

“Tiba di lokasi 17 minit kemudian, pasukan mendapati api yang marak melibatkan 15 kediaman berstruktur tidak kekal.

“Pasukan kemudian bertindak membuat ‘fire break’ dengan membentang sejauh 500 kaki aliran untuk ke lokasi kebakaran dan menggunakan sumber air terbuka dan tangki air untuk kerja-kerja pemadaman.

“Ini berikutan laluan masuk yang sempit, dan ketiadaan pili bomba di lokasi.

Kata Farhan, operasi berlangsung selama lebih tiga jam, sehingga api benar-benar dipadamkan.

“Setakat ini, kebakaran ini melibatkan 15 keluarga tanpa melibatkan sebarang mangsa.

Punca kebakaran katanya, sedang disiasat pasukan forensik bomba dan jumlah kerugian sedang ditaksir. – Sarawakvoice