Van bertembung lori di Batu 12, Jalan Kuching-Serian, 2 maut 2 parah

SERIAN: Dua maut dan dua parah selepas kenderaan van yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan dua kenderaan lain di Batu 12, Jalan Kuching-Serian petang semalam.

Pemangku Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Asisten Komisioner Mathew Manggie berkata, kejadian berlaku sekitar jam 6.30 petang ketika van jenis Toyota Hitace yang dinaiki dua mangsa malang itu sedang bergerak dari arah Serian menuju Kuching.

“Setibanya di lokasi, kenderaan mereka berusaha untuk memotong dan memasuki laluan bertentangan tanpa menyedari sebuah lori bergerak dari laluan bertentangan.

“Gagal mengelak, van tersebut terus merempuh lori tersebut manakala penunggang motosikal yang berada di belakang lori pula, terjatuh ketika mengelak daripada merempuh belakang lori.

“Akibat impak tersebut, pemandu van mati di tempat kejadian manakala penumpangnya meninggal ketika menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 6.33 dan sebuah jentera dan ambulans EMRS dengan kekuatan enam anggota dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Siburan.

“Pasukan tiba 11 minit kemudian dan mendapati kemalangan melibatkan tiga kenderaan.

“Pasukan kemudian bertindak mengeluarkan pemandu van yang maut dan penumpangnya yang parah.

“Setelah dikeluarkan, penumpang van, pemandu lori dan penunggang motosikal yang parah dikejarkan oleh paramedik EMRS ke Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Umum Sarawak.

Mangsa yang maut pula katanya, diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Jelas Mathew, pemandu yang mati itu kemudian dikenal pasti sebagai Allan Chung Loong Fuat, 41 tahun dari Taman Poh Ming, Kuching manakala penumpangnya, dikenal pasti sebagai Anslem Adriano Wilson, 15 tahun dari RPR Landeh.

Punca sebenar kes masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Sarawakvoice

Leave a Reply