Tiada wang sewa ambulans: Ayah terpaksa dukung mayat anak sejauh 15 kilometer

BHUBANNESWAR, India: Bukan pertama kali, keluarga yang kematian ahli keluarga terpaksa mendukung mayat dengan berjalan kaki di negara ini.

Puncanya, kemiskinan yang melampau dan perkhidmatan hospital yang buruk.

Seorang bapa terpaksa mendukung mayat anak perempuannya sejauh 15 kilometer untuk dibawa pulang ke kampung selepas tidak mampu membayar sewa ambulans dan menyediakan keranda.

Si mati yang dikenali sebagai Sumi Dhibar, kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dirawat di  Pusat Perubatan Komuniti Pallahara di daerah Odisha Angul selepas mengalami demam panas, lapor India Today.

Satu rakaman video yang tersebar di India kelmarin menunjukkan seorang lelaki, Gati Dhibar berjalan kaki sambil mendukung mayat anaknya itu  di sebatang jalan di daerah Angul di negeri Odisha.

Sehari selepas dirawat, doktor mengesahkan Sumi meninggal dunia.

Dhibar diminta membawa mayat anaknya pulang dan kerana lelaki itu tidak mampu, pihak hospital enggan menyediakan keranda dan juga ambulans.

Pada tahun lalu, Dana Majhi terpaksa mendukung mayat isterinya sejauh 13 kilometer selepas bas gagal menyediakan perkhidmatannya.

Kejadian itu mengundang simpati rakyat India.

Kemudian Sarat Barik juga terpaksa mendukung mayat ayahnya dalam peristiwa yang memilukan.

Golongan miskin terpaksa berdepan masalah ini meskipun terdapat skim yang dikenali sebagai Mahaprayan yang bertujuan membantu mereka dalam keadaan sedemikian. – Sarawakvoice