KUCHING: Ahli perniagaan, Datuk Posa Majais, 53 tahun diumum sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Posa yang juga pengurus skuad Ngap Sayot pada musim ini dipilih secara sebulat suara oleh anggota gabungan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa FAS pagi ini.

Bukan orang baharu, Posa yang sebelum ini memikul peranan sebagai Naib Presiden, pernah menjadi pengurus pasukan Piala Malaysia, Piala Presiden serta kejohanan peringkat umur.

posa-majais-fas-baru-0001Ditanya kenapa tidak menoktahkan isu ini lebih awal, beliau berkata, pihaknya hendak memberi peluang kepada orang lain yang lebih layak terlebih dahulu.

“Hanya setelah semua pihak menolak, beberapa minggu lalu saya mengambil keputusan untuk memikul tanggungjawab ini.

“Ia satu tanggungjawab yang sangat berat,” tegasnya lagi.

Beliau juga akan mengekalkan kedudukannya sebagai pengurus pasukan utama Sarawak untuk sementara waktu bagi memberi perhatian kepada pasukan yang baharu dibentuk itu.

Pada mesyuarat agungnya pada 17 September lalu, jawatan Presiden FAS dikosongkan mengikut perlembagaan  bagi memilih “orang baharu” setelah Datu Sudarsono Osman bertegas dengan keputusannya untuk tidak dipilih semula.

Dalam mesyuarat tersebut, Abdul Wahab Rahim  yang mewakili Persatuan Bola Sepak Sarikei dipilih sebagai Timbalan Presiden FAS, sekali gus memangku jawatan Presiden untuk sementara waktu.

Empat muka baharu kemudian dipilih sebagai Naib Presiden Cassidy Morris, Abang Suhordie Abang Zaini, Duke Janteng dan Dato Posa Majais manakala seorang muka lama, Razali Dolhan mengekalkan kedudukannya.

Beberapa nama termasuklah Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Abdullah Saidol dan Ahli Dewan Undangan Negeri Layar, Gerald Rentap Jabu sebelum itu diwarwarkan untuk mengisi jawatan tersebut.

Tokoh usahawan wanita terkemuka Sarawak, Datuk Hanifah Taib-Alsree ketika dijemput untuk menjadi Presiden, memilih untuk membantu dari belakang, dengan menjadi Penasihat persatuan, tanpa sebarang komitmen yang jelas. – Sarawakvoice

posa-majais-fas-baru-0000

Leave a Reply