Pas sasar tarik 300,000 peserta dalam perhimpunan sokong RUU355, 18 Februari depan

SHAH ALAM:  Pas bakal menganjurkan perhimpunan solidariti Rang Undang-undang  Mahkamah Syariah  (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU355) pada 18 Februari dengan sasaran 300,000 peserta.

Perhimpunan bermula jam 3 petang hingga 11.30 malam di Kuala Lumpur itu sebagai solidariti umat Islam terhadap segala isu yang perlu dimuafakati bersama-sama NGO dan masyarakat dalam konteks negara dan ummah sejagat, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim menjelaskan proses penerangan yang dilakukan parti Islam itu dan NGO lain kepada masyarakat berjalan dengan baik.

“Bukan saja Pas, rakan NGO juga  buat penjelasan menerusi sesi diskusi dan penulisan artikel, dan kita dapat lihat keadaan kian reda, termasuk dalam kalangan orang bukan Islam,” katanya.

“Jadi dengan himpunan ini kita memurnikan suasana dan kurangkan tekanan serta hilangkan kebimbangan,” ujarnya.

Katanya dalam satu sidang media di Dewan Banquet, Majlis Bandaraya Shah Alam di sini semalam,  perhimpunan itu diadakan bagi memberi penjelasan terhadap kewajaran  akta terbabit dipinda dengan mengharap sokongan khususnya daripada Ahli-ahli Parlimen.

“Juga sebagai suntikan semangat untuk kita menghadapi cabaran dan tentangan dari mereka yang tidak memahami serta dibimbangi mengambil kesempatan mencetuskan suasana tidak harmoni,” katanya.

Perhimpunan itu, tambah beliau, adalah untuk meleraikan kekeliruan dengan mendidik masyarakat untuk berhimpun secara aman mengikut peraturan dan akta sedia ada,” ujarnya.

Menurutnya, himpunan bertemakan ‘Syariat Diperkasa, Rakyat Sejahtera’ itu mendapat sokongan  lebih daripada 200 NGO Islam. – Sarawakvoice