GEORGE TOWN: Keperihatinan Malaysia terhadap nasib etnik Rohingya di Myanmar bukan sekadar slogan kosong sebermula “penghapusan etnik” berlaku di negara berkenaan.

Di bawah Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Malaysia, 31 Januari ini, Malaysia mengetuai 14 negara dalam misi kemanusiaan “Food Flotilla For Myanmar” yang memakan masa 25 hari itu.

Misi melibatkan 245 sukarelawan termasuk 150 warga Malaysia dan 10 warga Turki membawa 1,500 tan sumbangan berupa makanan, pakaian dan perkakas dibawa untuk agihan kepada mangsa teraniaya itu.

Negara lain turut serta menjayakan misi ini termasuk United Kingdom (UK), Belanda, Perancis, Kuwait, Arab Saudi, Mesir, Jerman, Thailand, China, Indonesia, Kemboja.

Presiden KP1M, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata misi berkenaan turut membawa 40 pakar perubatan, beberapa paderi dan juga sami.

Azeez berkata, pihaknya sudah berurusan dengan Wisma Putra (Kementerian Luar Negeri) dan menulis surat rasmi kepada Presiden Myanmar berkaitan misi kemanusiaan itu.

Azeez berkata pihaknya masih berbincang berkaitan misi kemanusiaan itu dan bertegas mahu mengagih sendiri bantuan tersebut kepada mangsa yang teraniaya, bukan melalui tangan pihak kedua. – Sarawakvoice

food-flotilla-for-myanmar-0000