Thursday, March 30, 2017
Kurang mampu bukan penghalang dapat pendidikan

Kurang mampu bukan penghalang dapat pendidikan

JOHOR BAHRU: Orang ramai tidak seharusnya menjadikan status kurang berkemampuan sebagai alasan menghalang seseorang kanak-kanak mendapatkan pendidikan, kata Pengerusi Yayasan Eco World Tan Sri Lee Lam Thye.

Ini kerana yayasan itu yang ditubuhkan pada Mei 2014 membelanjakan RM5 juta setahun bagi membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan, katanya.

Katanya yayasan itu menjalin kerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi mengenal pasti golongan murid dan pelajar yang layak dan cemerlang dalam pelajaran dan akan terus membantu mereka sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

“Pendidikan merupakan satu keperluan yang sangat penting kepada semua kanak-kanak di dunia, dan ia merupakan satu-satunya pelaburan yang benar-benar dapat mengubah nasib mereka.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) 2016 Yayasan Eco World di sini malam tadi.

“Kita telah menubuhkan yayasan ini pada Mei 2014, dan sehingga hari ini kita telah berjaya membantu lebih 3,000 pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan,” kata Lee.

Katanya pelbagai bantuan pendidikan dihulurkan dengan Bantuan Pendidikan Sekolah Rendah berjumlah antara RM1,100 hingga RM1,200 setahun, manakala bantuan Pendidikan Sekolah Menengah adalah antara RM1,000 hingga RM1,400 setahun.

Bantuan Pendidikan prauniversiti adalah sebanyak RM5,000 untuk tingkatan enam rendah dan enam atas manakala Bantuan Pendidikan Pengajian Tinggi pula adalah antara RM5,500 sehingga RM13,500 setahun untuk pengajian asas dan RM8,000 sehingga RM20,000 setahun untuk pengajian Sarjana Muda.

Sehingga kini, 13 Pelajar Bantuan Eco World telah tamat pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan 31 orang sedang menuntut di IPT, katanya. Bernama