Kreativiti Jijoe ubah suai motosikal redah banjir patut dikomersialkan

BESUT: Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh kagum dengan kepandaian Mohd Faizul Lokman, 30, mengubah suai motosikal berkuasa rendah hingga mampu meredah banjir.

Anggota Parlimen Besut itu menyifatkan kreativiti Faizul atau nama jolokannya Jijoe boleh diketengahkan untuk tujuan komersial.

Jijoe sebelum ini memuat naik video dia menunggang motosikal bersama kakaknya, Khazuraini, 35 di dalam banjir sedalam 1.5 meter berlatar belakangkan lagu “Jomblo Happy” nyanyian kumpulan Gamma.

Kini, video tersebut viral dan ditonton ramai netizen sehingga akaun Facebook Jijoe mempunyai lebih lima juta pengikut dari seluruh dunia.

Video sepanjang 1 minit 24 saat itu dirakam di sekitar Kampung Gong Chokoh, Padang Luas, Jerteh, Besut semasa banjir 4 Januari lepas.

Menurut Bernama, Jijoe mekanik motosikal sambilan dan tukang rumah, mengubah suai kedudukan karburetor dan tangki minyak motosikalnya untuk diletak di dalam bakul dan di atas palang motosikal mengelak terkena air.

Jijoe berkata, lima lagi rakan lainnya turut mengubah suai motosikal mereka untuk digunakan semasa banjir. – Sarawakvoice