Kenapa Lim Kit Siang saman Media Prima, bukan Tunku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR: Tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyaman media bertujuan mengalih perhatian rakyat, khususnya ahli DAP bagi membuktikan pakatan sulit beliau dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak wujud.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, jika benar Kit Siang, yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah itu menafikan dakwaan berkenaan, beliau perlu menyaman individu bertanggungjawab, iaitu bekas Naib Presiden DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

“Kenapa Lim Kit Siang takut hendak saman Tunku Abdul Aziz? Apakah bimbang tembelangnya tanpa pengetahuan PKR itu terbongkar,” katanya dalam kenyataan.

Jadi, ujar Sohaimi, bagi mengalih tumpuan atau menafikan dakwaan itu, beliau meletakkan kesalahan itu pada media yang dianggap musuh oleh DAP.

Dalam sidang akhbar kelmarin, Kit Siang mengarahkan peguam­nya mengambil tindakan undang-undang terhadap Kumpulan Media Prima dan Utusan Malaysia tetapi tanpa berbuat demi­kian kepada Tunku Abdul Aziz walaupun laporan yang disiarkan di akhbar tersebut memetik Tunku Abdul Aziz sebagai sumber.

Sebelum ini, Tunku Abdul Aziz mendakwa terdapat pakatan sulit antara kedua-dua pemimpin pembangkang itu berhubung calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri jika pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Tunku Abdul Aziz mendakwa pakatan itu dibuat  tan­pa pengetahuan parti sekutu lain terutama PKR.

Kedua-dua pe­mimpin terbabit menurut beliau, membuat perjanjian rahsia untuk melantik Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri manakala Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri. – Sarawakvoice

Leave a Reply