KUCHING: Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat memandang serius kejadian yang menimpa Muhammad Adam, 3 tahun yang telah ditinggalkan ibu bapa dan ditemui bersendirian di rumah keluarganya di Kampung Parit Buloh, Ayer Kuning, Gemencheh, Tampin.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, kejadian ini sekali lagi mengejutkan masyarakat selepas kes yang sama pernah terjadi pada tahun 2014.

“Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016 memperuntukan Seksyen 31 dan Seksyen 33 berhubung tanggungjawab ibu bapa atau penjaga yang mengabaikan dan membiarkan kanak-kanak tanpa pengawasan yang sepatutnya dan ia merupakan satu kesalahan.

“Sekiranya individu yang melakukan kesalahan tersebut berjaya disabitkan, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali bagi Seksyen 31 dan denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali bagi Seksyen 33 akan dikenakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Rohani, selain itu, individu yang didapati bersalah juga dikehendaki menjalani Perintah Khidmat Masyarakat sebagai hukuman mandatori bagi kedua-dua seksyen terbabit.

Kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) katanya, telah menjalankan sesi intervensi awal bersama-sama kaunselor kepada kanak-kanak bermula apabila dia dimasukkan ke wad di Hospital Tampin.

“JKM juga akan melengkapkan siasatan untuk menempatkan kanak-kanak ini di bawah jagaan orang yang layak dan sesuai iaitu datuknya, yang ada menyatakan hasrat untuk menjaga kanak-kanak sebelum dia dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah sementara.

“Laporan perubatan daripada hospital menyatakan kanak-kanak ini kini dalam keadaan baik, aktif dan tiada kesan penderaan fizikal.

JKM jelasnya, akan terus memberikan pemantauan rapi terhadap kes ini. – Sarawakvoice