Elakkan konflik perpecahan sesama Islam – Abang Johari

MIRI: Hamim Mohd Shabib dan Farah Liza Mohamad Musa dari daerah Miri muncul johan qari dan qariah Tilawah Al-Quran Bahagian Miri 2017 di sini malam tadi.

Mereka muncul pemenang daripada lima qari dan empat qariah yang memperdengar bacaan ayat suci al-Quran di Dewan Serbaguna, Kampung Bakam, Miri.

Bertemakan “Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah”, majlis ini telah dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg.

Dalam ucapannya, Abang Johari menyeru agar umat Islam di Miri bersatu hati dan mengelakkan konflik perpecahan dalam kalangan saudara sesama Islam mahupun bukan Islam.

“Hanya dengan cara begini nilai persaudaraan Islam dapat ditegakkan seterusnya membawa kepada penyatuan umat Islam seperti pada era kegemilangan Islam ketika zaman Nabi Muhammad s.a.w.

“Masyarakat Islam di Sarawak seharusnya bersyukur kerana kita mampu hidup secara harmoni meskipun berbeza agama, bangsa, adat resam dan kepercayaan,” katanya.

Sebagai umat Islam yang berpegang aqidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah tambahnya, kita harus bersatu mengelakkan anasir-anasir perpecahan yang dibawa dari luar yang menjurus kepada penyelewengan akidah.

“Kerajaan sememangnya memantau rapi sebarang elemen pembawaan ajaran sesat seperti Kumpulan Millah Abraham yang dikenal pasti di Simunjan tidak lama dahulu.

abg-jo-tilawah-al-quran-0000

Menyentuh soal pendidikan, beliau menegaskan umat Islam perlu memantapkan diri dengan ilmu serta berpegang teguh pada ajaran Islam.

“Ini boleh dilakukan dengan memahami kandungan al-Quran kerana banyak ayat Al-Quran yang mengajar manusia bertoleransi dan menerapkan perpaduan dalam kehidupan.”

Hamim Mohd Shabib yang muncul johan qari membawa pulang wang tunai berjumlah RM1000, piala dan sijil penyertaan.

Naib johan disandang oleh Awang Mohammad Safwan Awang Sefari yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM750, piala dan sijil penyertaan manakala tempat ketiga dimenangi oleh Mustafa Amru Riduan yang membawa pulang wang tunai RM500, piala dan sijil penyertaan.

Farah Liza turut membawa pulang wang tunai berjumlah RM 1000, piala dan sijil penyertaan.

Naib johan disandang oleh Norliza Chem yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM750, piala dan sijil penyertaan manakala tempat ketiga dimenangi oleh Dara Ali yang membawa pulang wang tunai RM500, piala dan sijil penyertaan.

Abang Johari turut mengumumkan sumbangan beliau sebanyak RM50 ribu bagi tujuan pembinaan masjid baru di Bakam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, Adun Lambir, Ripin Lamat; Residen Bahagian Miri, Antonio Kahti Galis; ketua-ketua jabatan, dan ketua-ketua masyarakat setempat. – Sarawakvoice