RIYADH: Pembangunan drastik kota Mekah membolehkan ia menerima sehingga 30 juta jemaah haji menjelang 2020.

Berbanding seabad lalu pada 1920, hanya tercatat 59,000 orang mengerjakan haji dari seluruh dunia.

Memenuhi peningkatan drastik itu, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Haji, Putera Mahkota Muhammad Bin Naif mengarahkan kenaikan kuota haji dilaksanakan secara berperingkat.

Justeru, tahun ini bakal disaksikan lima juta jemaah mengerjakan haji.

Keputusan rasmi tersebut diumumkan ketika Putera Muhammad menerima menghadap beberapa ketua delegasi haji dari pelbagai negara Arab dan Islam di pejabatnya di Jeddah dekat Mekah, kota suci terbesar umat Islam.

Sebelum ini dalam pembangunan mapan kota Mekah, kuota jemaah haji dikurangkan bagi memastikan keselamatan jutaan jemaah terjamin ketika projek pembesaran terbesar Masjidil Haram dilakukan.

Sejak 2013, Mekah hanya menerima dua juta jemaah haji susulan pelaksanaan ketat pengurangan kuota.

Pada 2012, rekod tertinggi jumlah jemaah yang mengerjakan haji dari seluruh dunia dan Arab Saudi sendiri ialah 3.2 juta orang.

Kuota jemaah mula dilaksanakan pada 2000 hasil inisiatif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berpusat di Jeddah dengan semua negara berdasarkan nisbah 0.1 peratus daripada jumlah penduduk Islam di negara berkenaan. – Sarawakvoice

Leave a Reply