4 pemandu mabuk dicekup dalam Op Mabuk/Samseng Jalanan malam tadi

KUCHING: Empat individu ditahan dalam satu operasi khas yang dinamakan Op Mabuk/Samseng Jalanan malam tadi kerana didapati memandu dalam keadaan mabuk.

Pemangku Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Asisten Superintendan Mathew Manggie berkata, operasi tersebut dikendalikan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching selama empat jam bermula 11.30 malam.

“Dalam operasi ini, rondaan mengekang samseng jalanan dilakukan di kawasan ICOM Square dan Masja.

“Berdasarkan pemeriksaan terhadap sembilan individu, empat orang daripadanya positif.

Sebanyak 30 keping saman katanya, turut dikeluarkan atas pelbagai jenis kesalahan.

Mathew berkata, sebelum sekatan jalan raya diadakan, pihaknya membuat rondaan dan pemantauan aktiviti samseng jalanan di beberapa lokasi.

“Kita dapati trend berkumpul ketika ini telah berubah dari Masja ke Icom Square.

“Beberapa motosikal turut ditahan untuk pemeriksaan lanjut dan beberapa keping saman dikeluarkan di lokasi.

Operasi ini kata Mathew, dilaksanakan oleh dua pegawai dan 13 anggota.

“Kita akan teruskan operasi seperti ini sebagai salah satu rutin untuk memastikan kesejahteraan masyarakat.” – Sarawakvoice

Leave a Reply