KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad dilantik sebagai pengerusi baharu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), menggantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bagi memperkukuh dan memantapkan kepemimpinan agensi it.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Shahrir yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan dan pernah menjadi menteri di tiga kementerian, adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuhkan dan memantapkan lagi kepimpinan Felda.

“Saya yakin beliau dapat meneruskan segala usaha yang sedang dibuat bagi mensejahterakan lagi warga Felda,” katanya.

Menurut Najib, Shahrir pernah menyandang jawatan pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang bertanggungjawab mengaudit ketelusan badan-badan kerajaan.

Katanya, Shahrir menggantikan Samad, yang tamat tempoh perkhidmatannya sebagai pengerusi Felda, dan  Mohd Isa akan terus memegang jawatan sebagai Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd.

Najib berkata di bawah kepimpinan Mohd Isa, Felda telah menjayakan banyak aktiviti kemasyarakatan serta program-program bagi meningkatkan kualiti hidup peneroka dan keluarga.

“Di bawah penyusunan ini, adanya pembahagian tanggungjawab iaitu terhadap kebajikan dan sosio-ekonomi peneroka dan perniagaan Felda,” kata perdana menteri. – Sarawakvoice