Presiden baharu FAS diumum hari ini

KUCHING: Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) dijangka akan mengumumkan Presiden baharunya hari ini, sebaik sahaja selesai Mesyuarat Agung Luar Biasanya.

Mesyuarat tersebut akan berlangsung pada jam 9 pagi bertempat di Hotel Grand Dormani dekat sini, diikuti sidang media sekitar jam 11 pagi.

Menurut sumber, ada beberapa nama akan dicadangkan namun, difahamkan salah seorang daripada Naib Presiden akan dipilih ke jawatan tersebut.

“Beliau merupakan orang berpengalaman dalam FAS kerana pernah memimpin skuad Piala Presiden.

“Malah, individu terbabit juga ‘orang penting’ di sebalik pembentukan pasukan baharu Ngap Sayot yang akan menyertai Liga Super pada penghujung bulan ini.

Jelas sumber tersebut, mesyuarat tersebut juga dijangka akan merestui senarai akhir skuad Liga Super Sarawak, sebelum ia diumumkan kepada media.

Pada mesyuarat agungnya pada 17 September lalu, jawatan Presiden FAS dikosongkan mengikut perlembagaan bagi memilih “orang baharu” setelah Datu Sudarsono Osman bertegas dengan keputusannya untuk tidak dipilih semula.

Dalam mesyuarat tersebut, Abdul Wahab Rahim yang mewakili Persatuan Bola Sepak Sarikei dipilih sebagai Timbalan Presiden FAS, sekali gus memangku jawatan Presiden untuk sementara waktu.

Empat muka baharu kemudian dipilih sebagai Naib Presiden Cassidy Morris, Abang Suhordie Abang Zaini, Duke Janteng dan Dato Posa Majais manakala seorang muka lama, Razali Dolhan mengekalkan kedudukannya.

Beberapa nama termasuklah Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Abdullah Saidol dan Ahli Dewan Undangan Negeri Layar, Gerald Rentap Jabu sebelum itu diwarwarkan untuk mengisi jawatan tersebut.

Tokoh usahawan wanita terkemuka Sarawak, Datuk Hanifah Taib-Alsree ketika dijemput untuk menjasi Presiden, memilih untuk membantu dari belakang, dengan menjadi Penasihat persatuan, tanpa sebarang komitmen yang jelas. – Sarawakvoice