Pengerusi baharu Felda bakal rombak pengurusan demi kesejahteraan warganya

JOHOR BAHRU: Tan Sri Shahrir Abdul samad bakal merombak pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) termasuk anggota lembaga pengarah bagi mengembalikan kedudukan kesejahteraan dan menyelesaikan masalah warganya.

“Rombakan dan penyusunan semula ini mestilah untuk tujuan tertentu dan tujuannya adalah untuk mengembalikan kesejahteraan warga Felda dan menyelesaikan masalah warga Felda yang sudah wujud dalam Felda, “kata Pengerusi yang baru dilantik itu.

Shahrir menggantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang tamat tempoh sebagai Pengerusi pada 31 Disember lepas.

Shahrir berkata, ini termasuk  dari segi pendapatan mereka, beban hutang mereka, dan isu perumahan bagi generasi kedua yang walaupun sudah siap tapi masih belum diduduki.

Beliau berkata, selain itu, model perniagaan Felda ketika ini  perlu diteliti semula secara keseluruhan.

Bagaimanapun, katanya, rombakan tersebut perlu munasabah dan sesuai dengan matlamat yang mahu dicapai, terutama dalam mengembalikan kesejahteraan hidup warga Felda supaya lebih terjamin pada masa hadapan.

“Anggota lembaga (pengarah) Felda mesti kuat, dan mesti memahami tentang segala kekuatan dan kelemahan Felda. Jadi, barulah kita tahu ke mana hala tuju Felda,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Antara yang menjadi kebimbangan peneroka Felda adalah dari segi pendapatan, beban hutang dan perumahan generasi kedua.

Ketika ditanya sama ada beliau turut melihat kepada penyahsenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) pada masa hadapan, beliau berkata: “Kita kena tengok dulu. Dari segi faedah dan risiko serta impaknya kerana pasti ada pelbagai pandangan daripada semua pihak. Kita kena lihat pelbagai pilihan yang ada”.

Ketika ini, Felda merupakan pemegang saham majoriti dalam FGV iaitu sebanyak 20 peratus.

Pengerusi Felda itu berkata antara perancangan awal beliau ialah melakukan lawatan kerja ke kawasan rancangan, selain bertemu pengurusan Felda mulai esok. – Sarawakvoice