Pelantikan Setiausaha Agung PKR sebagai Penasihat Strategik Lim Guan Eng memalukan

Pelantikan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai Penasihat Strategik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah mengundang kontroversi dan mengundang pelbagai pandangan. Sudah pasti pihak yang menjadi musuh DAP dan PKR akan melontarkan pandangan negatif, manakala pihak yang melantik dan teman DAP dan PKR akan menyifatkannya sebagai wajar.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Rashid Hasnon dipetik sebagai berkata, tujuan pelantikan itu adalah untuk mengukuhkan sokongan orang Melayu terhadap kerajaan negeri.

Beliau menafikan pelantikan itu sebagai dedak seperti didakwa lidah rasmi Pas. Harakah Daily pada keluaran Khamis bersikap kritis terhadap pelantik orang kuat PKR itu.  

Pas beranggapan dengan pelantikan itu akan mengikat individu berkenaan supaya terikat dengan pihak yang melantik, iaitu DAP.

Bagi pemerhati bebas, mereka menyifatkannya sebagai memperlihatkan sifat terbuka dan tidak rasis DAP, sekali gus menyingkirkan tanggapan bahawa parti itu hanya mengutamakan orang Cina.

Saifuddin akan bekerja bersama pasukan yang digelar “Memperkasakan Rakyat di Pulau Pinang”.

Difahamkan tujuan pasukan ini adalah untuk merampas kembali kerusi Melayu yang pembangkang gagal menang pada dua pilihan raya lalu dan memperkukuhkan kerusi yang kita menang tipis. Pasukan itu akan memberi tumpuan kepada 10 kerusi yang dimenangi oleh Umno di Pulau Pinang pada PRU-13 lalu.

Pelantikan Saifuddin ialah pelantikan di bawah Kerajaan Pakatan Harapan, dan bukannya oleh DAP atau PKR.

“Soal ‘dedak’ tidak timbul; PAS perlu jumpa kami untuk penjelasan jika mereka ragu-ragu,” katanya.

Dalam lidah pengarang itu, penulis mendakwa DAP menggunakan kesempatan itu memberikan jawatan bagi menggerakkan misinya.  Kata tulisan itu, jika betul jawatan itu penting dan perlu atau DAP mempunyai perancangan yang lestari, sudah tentu selewat-lewatnya jawatan tersebut diwujudkan selepas PRU13 lalu iaitu penggal kedua menerajui kerajaan negeri.

Bagi pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin pula, menyifatkannya sebagai memalukan PKR  kerana membiarkan DAP melantik Setiausaha Agungnya.

Menurut beliau dalam blognya kelmarin, pelantikan itu akan membolehkan ‘musuh’ dalam dan luar PKR menggunakan isu Setiausaha Agung PKR kini bekerja dan dibayar gaji oleh Setiausaha Agung DAP.

“DAP berjaya mendapatkan Saifuddin kerana kesilapan dan keangkuhan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga Menteri Besar Selangor menyusun kroni korupnya di Selangor,” katanya.

Badrul Hisham mempersoalkan, adakah Saifuddin akan diterima PKR Pulau Pinang, kerana majoritinya menyokong Azmin Ali. – Sarawakvoice

Leave a Reply