Pas sifatkan pelantikan Saifuddin sebagai dedak

KUALA LUMPUR: Pelantikan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat  (PKR), Saifuddin Nasution sebagai penasihat strategik Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng disifatkan Harakah, lidah rasmi Pas sebagai “dedak”.

“Pelantikan itu hanyalah “dedak” supaya individu atau parti yang dilantik akan terikat.

“Dengan kelebihan sebagai kerajaan, DAP menggunakan kesempatan itu memberikan jawatan bagi menggerakkan misinya,” menurut komen yang diterbitkan akhbar itu.

Ulasan Harakah itu menyatakan berbekalkan kelebihan sebagai kerajaan negeri, DAP menggunakan kesempatan itu memberikan jawatan bagi menggerakkan misinya, iaitu menabur dedak bagi mengikat pihak dilantik.

Komen itu menyifatkan keputusan melantik Saifuddin sebagai sebahagian usaha DAP menyekat sebarang kerjasama PKR dengan Pas.

Menurutnya, pelantikan “orang penting PKR” dalam pentadbiran DAP itu berlaku ketika PKR “masih menunjukkan sayang dan rindu kepada PAS di mana tidak pernah lafaz talak berlaku”.

Menurut penulisan itu lagi, secara halus, Saifuddin akan menjadi sekurang-kurangnya sebagai ‘penimbang tara’ terhadap kepentingan DAP di dalam keputusan PKR dan mengukuh dalam koalisi PH-Bersatu,” merujuk perjanjian kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) daengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pelantikan Saifuddin menerima sokongan Biro Politik PKR Pusat.

“Tetapi sukar DAP melakukan ‘jual beli’ sedemikian sementelah lagi diketahui umum akan ‘harga diri’ Saifuddin yang pernah bersalah atas kes fitnah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Maruah dan kepentingan rakyat daripada mandat diberikan bukan tanggungjawab padanya,” kata artikel itu. – Sarawakvoice