Ongkili  kini pemangku Presiden PBS, ganti Joseph Pairin

KOTA KINABALU: Datuk Seri Dr Maximus Ongkili telah mengambil alih jawatan pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menyerahkan teraju kepemimpinan PBS kepada Ongkili pada mesyuarat Majlis Tertinggi parti yang pertama yang diadakan  di ibu pejabatnya di sini, semalam.

“Beliau (Pairin) berehat daripada melaksanakan tugas presiden dan akan terus menjalankan tugas menteri dan kerja-kerja komuniti sehingga akhir penggal,” kata Setiausaha Agung PBS Datuk Johnny Mositun dalam satu kenyataan, semalam.

Selepas menyampaikan ucapannya, Pairin, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, beredar bagi membolehkan Ongkili mempengerusikan mesyuarat tersebut.

“Tan Sri (Pairin) masih berada untuk membantu, memberi bimbingan dan bekerjasama dengan parti pada pilihan raya umum akan datang,” kata Mositun.

Beliau berkata, Ongkili, yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, akan bertanggungjawab bagi semua perkara yang menyentuh parti termasuk persiapan untuk pilihan raya akan datang.

Pelantikan Ongkili memasuki fasa kedua pelan peralihan parti.

“Tan Sri (Pairin) menggesa pemimpin parti di semua peringkat untuk bekerjasama, terus bersatu dan bekerja keras untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional pada pilihan raya akan datang, dan memberi sokongan yang sama kepada pemangku Presiden,” katanya.

Pada 29 Julai tahun lepas, Pairin memulakan proses peralihan kuasa apabila beliau menyerahkan kuasa kepada Ongkili, yang menjadi Timbalan Presiden selama 23 tahun, untuk menjalankan tugas presiden parti. Bernama