Lapan jadi korban banjir di Thailand, PM akui rasai derita rakyat

BANGKOK: Perdana Menteri Jeneral  Prayut Chan-o-cha mengakui turut merasai penderitaan yang ditanggung rakyatnya di selatan Thailand yang kini dilanda banjir teruk, pergolakan sosial, kata The Nation.

“Ia amat menyedihkan, walau bagaimana toleran pun saya, terutama apabila saya berada di sini,”  kata perdana menteri ketika melawat wilayah Narathiwat, semalam.

Prayut menggesa rakyat tempatan supaya memberi sokongan terhadap usahanya menyelesaikan masalah masyarakat di situ.

“Perhatikan apa yang dapat kita selesaikan. Jika kita dapat mencari jalan penyelesaian, kita perlu lakukannya segera,” ujarnya.

Beliau menyeru rakyat di situ supaya bekerjasama dengan kerajaan, bagi melancarkan penyelesaian masalah yang dihadapi.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada rakyat di situ kerana gigih menghadapi masalah akibat bencana alam.

Kata Prayut, kunjungannya ke selatan negara itu adalah untuk memberi sokongan moral terhadap rakyat yang ditimpa bencana banjir.

Dalam pada itu, lapan orang menjadi korban bencana banjir berikutan hujan lebat sehingga mencetuskan keadaan huru-hara.

Sembilan wilayah di selatan negara itu dilanda hujan luar musim sehingga menjejaskan pelancong dan penerbangan.

Kenyataan Kementerian Dalam Negeri yang dikeluarkan di sini menyatakan,  120,000 keluarga terjejas apabila kebanyakan kawasan di wilayah selatan dinaiki air hingga menyebabkan jalan raya menjadi sungai dan landasan kereta api hanyut. – Sarawakvoice

banjir-thai00