KUCHING: Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak, Abdullah Saidol hari ini menafikan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai isu polisi kek halal McDonalds (McD).

“Sebaliknya kenyataan yang dibuat oleh salah seorang Setiausaha Politik yang mewakili Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) itu dibuat atas kapasiti peribadinya.

“Ketua Menteri tidak pernah membuat sebarang pendirian berhubung isu tersebut,” tegasnya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Abdullah yang juga Adun Semop berkata, McD merupakam sebuah entiti perniagaan, dan polisi yang diumumkan oleh mereka adalah satu keputusan perniagaan mereka.

“Kerajaan Negeri tidak ada kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam perniagaan McD, maka tidak perlu untuk kita mencampuri urusan mereka.

“Kecuali mereka ada melanggar undang-undang atau garis panduan perniagaan, barulah Kerajaan Negeri perlu bersuara,” katanya lagi.

Negeri Sarawak jelasnya, adalah contoh terbaik dalam negara ini sebagai sebuah negeri yang mempunyai tahap perpaduan berbilang bangsa serta toleransi yang tinggi.

“Kuching malah telah diumumkan sebagai “City of Unity” yang pertama di Malaysia.

“Kita sebagai anak negeri harus berasa bangga dengan imej unik dan kesatuan dalam kepelbagaian ini.

Abdullah berkata, beliau tidak faham bagaimana isu kek halal ini boleh menjerumuskan rakyat negeri ini ke arah unsur-unsur fanatik dan perkauman?

“McD Singapura juga mengamalkan polisi yang sama. Apakah kita akan dan pernah melihat masalah fanatik dan perkauman di Singapura?

Menurutnya, Ketua Menteri sendiri malah lebih mementingkan isu berkaitan dengan kebajikan serta keperluan rakyat terutama di luar bandar dan usaha untuk mendapatkan peruntukan yang lebih daripasa Kerajaan Persekutuan bagi tujuan pembangunan negeri.

“Saya percaya warga negeri ini cukup matang untuk tidak mudah terpengaruh dengan isu remeh ini.

“Negeri kita tidak akan menyambut sesiapa yang berfikiran atau bersikap suka berburuk-sangka serta ektrimis.

“Semua warga negeri yang berbilang bangsa dan agama tanpa mengira fahaman politik bertanggungjawab untuk mempastikan keharmornian dan keamanan dikekalkan melangkaui agenda politik.

Sikap toleransi dan menghormati sensitiviti kaum serta agama lain tegasnya, mesti tertanam dan menjadi sebahagian daripada jati diri setiap anak Sarawak.

“Sesiapa yang gagal untuk menghormati sentimen ini dan sering menunjukkan sikap antiperpaduan mesti dibenci dan dipinggirkan,” tegasnya. – Sarawakvoice