KUCHING: Pengarah Pendidikan Negeri, Rakayah Madon semalam mengesahkan bahawa kontraktor yang terlibat dalam pembekalan timun buruk dan sayur layu di Sekolah Kebangsaan Pulau Seduku telah diminta memberikan surat tunjuk sebab.

Menurutnya, pihak jabatan tidak akan berkompromi dalam perkara seperti ini kerana ia bukan sahaja melibatkan integriti tetapi kualiti pemakanan anak-anak yang terlibat.

“Kita juga akan menggiatkan pemantauan di semua sekolah bagi memastikan para pembekal mematuhi prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Dalam kes di SK Pulau Seduku tersebut,  pengurusan sekolah telah menyisihkan sayur-sayur tersebut dan telah membuat laporan kepada pihak jabatan.

Pendedahan dilakukan selepas seorang aktivis sosial, Datuk Wan Abdillah Edruce mengadakan lawatan ke sekolah tersebut pada minggu ini.

Nada yang sama turut disuarakan oleh Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah.

Beliau malah memberi amaran kepada kontraktor pembekalan makanan mentah di sekolah-sekolah berasrama di negeri ini agar lebih bertanggungjawab terhadap makanan yang dibekalkan.

“Tindakan membekalkan makanan yang tidak berkualiti dan tidak berkhasiat boleh memberi kesan kepada kesihatan anak-anak sekolah ini.

“Warden asrama sememangnya menolak pembekalan seumpama itu, namun ia bermakna kuantiti akan berkurangan, biarpun diganti pada keesokan harinya.

Kerana itulah katanya, mereka perlu lebih bertanggungjawab kerana apabila berlaku sesuatu kepada anak-anak ini, semua pihak terpaksa memikul tanggungjawab.

Menteri yang bertanggungjawab terhadap portfolio pendidikan di negeri ini itu telah mengarahkan pemantauan terhadap pembekalan ini ditingkatkan, agar anak-anak ini tidak menjadi mangsa. – Sarawakvoice