Jery hampar tilam selamatkan mangsa yang terjun dari bangunan terbakar, mangsa pertama maut kerana panik

MIRI: “Mangsa terjun kerana terlalu panik,” kata saksi kejadian, Jery John  menceritakan detik-detik kejadian kebakaran di Jalan Merbau, yang mengorbankan seorang gadis Cina-Penan malam tadi.

Jery berkata, kejadian berlaku sekitar jam 7.24 malam apabila dia mendengar jeritan orang meminta tolong.

“Saya kemudian cuba membuka pagar ke bilik tersebut tetapi tidak berjaya kerana pagar berkunci dan berantai.

Katanya, alternatif lain ialah mendapatkan tilam dari kediaman di tingkat satu, yang akhirnya berjaya menyelamatkan tiga mangsa yang turut terjun, dan mendapat kecederaan ringan.

Sementara itu, Balai Bomba dan Penyelamat Miri menerima panggilan kecemasan pada jam 7.28 malam dan pasukan pertama tiba di lokasi enam minit kemudian.

Ketika itu, api yang bermula dari lot 260 di tingkat dua telah menyaksikan kepulan asap merebak sehingga lot keenam.

Pihak bomba kemudian melaksanakan proses pemadaman dan penyelamatan dengan menggunakan dua alira 300 kaki dan empat nozel.

Sementara itu, sumber Ibu Pejabat Polis Daerah Miri mengesahkan mangsa yang maut dikenal pasti sebagai seorang wanita, Huong Siew Fong, 21 tahun.

“Mangsa merupakan seorang Cina Penan yang berasal dari Kampung Pemindahan Marudi, Baram.

“Turut cedera setelah terjun ialah abang dan kakaknya yang turut sama menyewa di bilik tersebut, Huong Siew Ching, 26 tahun dan Huong How Chuang, 24 tahun.

Dua lagi mangsa yang cedera dikenal pasti sebagai Elizabeth Liza, 20 tahun dan
Hennry Andul, 27 tahun.

Difahamkan dua anggota bomba turut mendapatkan rawatan selepas kejadian kerana mengadu sakit dada dan melecet.

Punca kebakaran masih disiasat. – Sarawakvoice