KUCHING: Tindakan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Michael Tiang yang membuat kenyataan bahawa tindakan restoran McDonald mensyaratkan persijilan halal untuk pembekalan kek ke restoran itu tidak dialu-alukan di Sarawak menerima kecaman banyak pihak hari ini dan semalam.

Michael Tiang, bekas ahli Parti Tindakan Rakyat (Dap) yang dibawa masuk ke dalam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (Supp) dikatakan mencari publisiti murahan, dengan membuat kenyataan yang tidak perlu dan tidak matang.

“Beliau tidak perlu membuat kenyataan seolah-olah beliau mewakili Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan rakyat keseluruhan,” kata aktivis Saberkas, Abang Abdul Aziz Abang Draup.

Ahli Dewan Undangan Negeri Muara Tuang, Datuk Idris Buang pula menasihati mereka yang menjawat jawatan seperti Setiausaha Politik agar lebih berhati-hati apabila membuat sebarang kenyataan sensitif.

“Mereka harus sedar bahawa sebarang pemakluman berkaitan makanan halal hanya tertakluk kepada masyarakat Islam.

“Ia tidak bermaksud kepada mereka yang bukan Islam. Hanya yang Islam perlu mematuhinya.

Justeru itu kata Idris yang pernah menjawat Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, beliau tidak mahu lagi sebarang kenyataan “bahlol” dan bodoh daripada Setiausaha Politik yang gagal memahami makanan halal adalah juga hak asasi manusia.

“Saya tidak dapat melihat bagaimana dengan memakan makanan halal boleh menjadikan seseorang itu menjadi ekstremis,” sindirnya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri Serembu, Miro Simoh turut kesal dengan kenyataan yang dilihat tergesa-gesa itu.

“Secara lojiknya, restoran itu adalah restoran halal dan kita tahu ia dipersijil halal.

“Kenapa perlu kita membawa “sesuatu” yang haram ke dalamnya dan berusaha untuk tidak menghormati status restoran tersebut.

Di Malaysia, terutamanya di Sarawak, terdapat banyak restoran lain yang tidak halal dan mereka boleh memilih ke situ untuk makan atau keraian.

“Usah mewujudkan keruh dalam suasana keharmonian masyarakat pelbagai kaum kita.

“Kita perlu saling menghormati dan memahami sensitiviti di antara satu sama lain,” tegasnya lagi. – Sarawakvoice

BERKAITAN: Polisi hanya benarkan kek hari jadi halal digunakan di Singapura dua dekad lalu

d1d48bfc-2e2f-44cc-81b7-df16a843ad1b

1 COMMENT

  1. Dalam usaha menyatupadukan msayarakt seorg pemimpin perlu berhati hati dalam sebarang kenyataan. Kenyataan yg hanya bersandarkan persepsi akan mengundang suasana yg kurang menyenangkan org lain. Pemimpin yg peka akan sensitiviti masyarakat lain tidal akan menyentuh perkara yg memberi impak dalam hubungan dan apa apa isu yg menyentuh soap agama dan budaya…

Comments are closed.