KOTA KINABALU: Penjenayah yang cuba menyerang anggota polis  ditembak dan cedera parah dalam satu insiden di Taman Bukit Setia, Sepanggar, Kota Kinabalu awal  pagi tadi.

Kejadian jam 2 pagi di Taman Bukit Setia, Sepanggar itu menyaksikan penjenayah berusia 35 tahun terkena tembakan di bahagian bawah ketiak serta tulang rusuk kanan dan dihantar untuk rawatan ke Hospital Queen Elizabeth dengan keadaannya dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata ketika kejadian tiga anggota unit cegah jenayah Balai Polis Manggatal menjalankan rondaan di kawasan parkir taman terbabit sebelum terserempak dengan suspek yang menaiki Honda City.

“Sebaik memperkenalkan diri, suspek enggan beri kerjasama, jadi  polis terpaksa memecahkan cermin kereta di sebelah pemandu,” katanya.

“Dia kemudian bertindak agresif dengan mengambil sebilah parang dan cuba melibas anggota polis, menyebabkan salah seorang anggota melepaskan dua das tembakan,” tambahnya.

Chandra berkata, polis turut menahan seorang lelaki berusia 20-an berhampiran lokasi  kejadian yang dipercayai rakan suspek.

Hasil siasatan awal, katanya,  suspek yang ditembak itu terbabit dalam 13 kes samun, rompak, curi kenderaan dan pecah rumah, termasuk kes terbaru di Keningau, semalam.

“Suspek terbabit juga disyaki dalang utama kepada kumpulan penjenayah dikenali Geng Saldi yang aktif melakukan jenayah sejak Disember lalu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. – Sarawakvoice