Video pemancing bermain yu paus di Miri cetus keterujaan

MIRI: Takut dan seronok. Itu pengalaman lima pemancing dari Bekenu dekat sini semalam, selepas bot mereka dihampiri seekor yu paus sepanjang enam meter.

Kejadian berlaku kira-kira jam tiga petang semalam ketika mereka memancing di kawasan perairan Laut Suai, dekat sini.

Bagaimanapun, ikan terbabit tidak mengganggu para pemancing, sebaliknya mengelilingi bot mereka, selepas mengikuti ikan haruan tasik yang berjaya dipancing sebelum itu.

Kejadian itu berjaya dirakamkan oleh kumpulan pemancing ini dan salah seorang daripada mereka sempat memegang kepalanya.

Ikan yang dikenali sebagai “whale shark” atau nama saintifiknya Rhincodon typus adalah sejenis ikan yu yang bergerak perlahan dan merupakan haiwan yang mangamalkan diet pemakanan bertapis.

Ia merupakan spesies ikan yang besar dan gergasi hingga mencapai 12.6 meter.

Ikan yu paus mudah dijumpai di kawasan lautan beriklim tropika yang purata suhu airnya sekitar 25 C hingga 30 C. Purata umur hidupnya dalam keadaan ini boleh mencecah sehingga 70 tahun.

Spesies ikan gergasi ini telah dianggarkan menetap di bumi sejak 60 juta tahun yang lalu. Makanan utamanya ialah plankton, haiwan dan tumbuhan seni bersaiz mikroskop, selain kumpulan ikan kecil. – Sarawakvoice

Leave a Reply