KUALA LUMPUR: Pas menggesa agar jawatankuasa Ombudsman ditubuhkan dan diperhalusi peranannya bagi meningkatkan ketelusan dalam agensi kerajaan.

Menurut Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan jawatankuasa itu mestilah bebas daripada pengaruh mana-mana pihak berkepentingan dan mempunyai kuasa undang-undang bagi melakukan penetrasi terhadap agensi kerajaan.

Selain itu, katanya, jawatankuasa terbabit  juga  berhak mendakwa mana-mana agensi yang melakukan salah laku dan penyelewengan.

Cadangan beliau itu dikemukakan susulan perkembangan kes salah laku penjawat awam yang disifatkannya sebagai semakin ketara sejak akhir-akhir.

Terbaru, katanya, penangkapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang penjawat awam berpangkat tinggi membuktikan integriti dan keyakinan awam terhadap agensi kerajaan semakin terhakis.

Kata beliau, sebanyak 31,236 orang penjawat awam telah dikenakan tindakan tatatertib dari pelbagai kesalahan sejak 2010, termasuk kes-kes berprofil tinggi melibatkan jutaan ringgit yang berjaya diberkas pihak SPRM.

“Malaysia adalah sebahagian daripada ahli ‘Asian Ombudsman Association’ (AOA), namun malangnya tiada jawatankuasa yang berperanan di peringkat nasional ketika ini. Adapun Biro Pengaduan Awam (BPA) di bawah Jabatan Perdana Menteri tidak boleh diklasifikasikan sebagai jawatankuasa Ombudsman di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

“Ini kerana BPA tidak mempunyai kuasa undang-undang selain hanya berperanan untuk mendapatkan maklumat tertentu daripada agensi kerajaan yang lain,” ujarnya.

Menurut  Nasrudin, salah laku penjawat awam kini sudah semakin kritikal dan perlu ditangani segera.

“Maka, penubuhan jawatankuasa ini tepat pada masanya bagi memastikan transparensi agensi kerajaan dapat diutamakan sekali gus mengurangkan kes-kes salah laku,” tambahnya. – Sarawakvoice