Nahas di lampu isyarat Unimas berlaku lagi

KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki cedera dan tersepit selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di persimpangan lampu isyarat Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Jalan Kuching-Samarahan Expressway malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 11.42 malam dan sebuah jentera serta ambulans EMRS dengan kekuatan 11 anggota dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan.

“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan, dengan kenderaan terakhir melibatkan mangsa yang tersepit dan tidak dapat keluar sendiri.

“Pasukan kemudian mengambil masa kurang 15 minit untuk mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit sebelum menyerahkannya kepada pasukan paramedik yang bertugas.

Menurut Farhan, kemalangan dipercayai berlaku ketika Proton Iriz memperlahankan kenderaannya selepss lampu isyarat kuning bertukar merah.

“Kenderaan itu kemudian dirempuh dari belakang oleh Produa Kenari, sebelum dilanggar pula oleh Perodua Kancil.

“Pemandu dan penumpang dua kenderaan lain itu pula selamat dan dapat keluar dari kenderaan dengan sendiri.”

Ini merupakan kejadian kedua di kawasan berkenaan dalam tempoh enam bulan.

Pada Julai lalu, dua wanita maut dan seorang parah selepas kenderaan Perodua Kelisa yang dinaiki mereka melanggar belakang sebuah lori di persimpangan yang sama. – Sarawakvoice

Leave a Reply