Mayat lelaki Johor terjun sungai ditemui

KUCHING: Setelah dua hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaturgerakkan, mayat seorang lelaki berjaya ditemui berhampiran Jambatan Isthmus, Jalan Pelabuhan, dekat sini.

Menurut Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Kuching, Tiong Ling Hii, mangsa ditemui sekitar jam 8.43 pagi tadi oleh pasukan SAR yang terdiri daripada Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan polis.

Mayat kemudian dibawa naik ke darat sebelum diserahkan kepasa pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Tiong berkata, mangsa dikatakan terjun dari jambatan sekitar jam 1 pagi semalam dan maklumat kecemasan disampaikan oleh Balai Polis Bintawa kepada Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya sekitar jam 4.18 pagi.

Berikutan itu, sebuah jentera dengan 11 penyelamat digerakkan ke lokasi dari balai berkenaan dan operasi SAR diaktifkan sekitar jam 6.30 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, berdasarkan pengenalan diri, mangsa dikenal pasti sebagai Chow Yeou Wei, 27 tahun, dari Taman Nusa Damai, Pasir Gudang, Johor.

“Siasatan awal mendapati, mangsa meninggalkan sebuah kereta jenis Honda Accord di tepi bahagian atas jambatan menuju ke arah pelabuhan tanpa berkunci.

“Turut dijumpai dua tin minuman keras jenama Tiger yang kosong diatas dashboard kereta.

Identiti mangsa kemudian disahkan oleh majikannya. – Sarawakvoice

Leave a Reply