KUALA LUMPUR: Pas menyifatkan undang-undang “sarang labah-labah” dan perasaan kecewa yang diluahkan Pengarah Bahagian Operasi Khas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Bahri Mohamad Zain sempena persaraan awalnya tidak dapat ditutup dengan penahanan Ketua Setiausaha  (KSU) sebuah kementerian atas dakwaan rasuah salah guna kuasa.

Malah, kata Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, sebenarnya penahanan KSU terbabit menimbulkan tanda tanya mengapa SPRM dapat bertindak kepada penjawat awam dengan mudah tetapi tiada tindakan yang serupa ke atas kes besar.

Semalam, SPRM merampas dan menyita wang tunai serta jongkong emas bernilai kira-kira RM5 juta selepas menahan KSU yang bergelar ‘Datuk’ dan berusia 59 tahun bersama dua anak lelakinya yang berumur 29 tahun dan 34 tahun di kediaman mereka di USJ, Subang Jaya, dekat sini.

Penahanan KSU sebenarnya menguatkan keluhan Bahri yang dipetik sebagai berkata “amat berdosa kepada seluruh 30 juta rakyat Malaysia kerana kes SRC tidak boleh dibawa ke mahkamah”.

Menurut beliau, tindakan SPRM mengundang pelbagai soalan di minda rakyat, antaranya, siapa yang menghalang kes SRC dan siapa pula memberikan lampu hijau kepada penahanan KSU, jikalau dakwaan Bahri itu benar?

“Apakah SPRM benar-benar bebas dalam melaksanakan tugasnya?,” ujarnya.

“Kecekapan SPRM dalam memerangi rasuah perlu diimbangi dengan keadilan dalam tindakan. Segala tindakan perlu adil dan kelihatan adil, tanpa sebarang pilih kasih. Jangan sampai penjawat awam merasakan mereka dijadikan kambing untuk orang politik berkuasa kelihatan alim,” katanya dalam satu kenyataan.

“Oh ya, apa khabar Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah?,” kata Tuan Ibrahim sinis. – Sarawakvoice

Leave a Reply