KUALA LUMPUR: Malaysia dilihat konsisten menyokong Palestin mencari keadilan dan penyelesaian berkekalan terhadap rakyat Palestin menuntut hak tanah air mereka di Asia Barat.

Peranan yang dimainkan Malaysia pada pengundian Majlis Keselamatan di Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) yang membawa kepada resolusi penting menghalang Israel meluaskan penempatan haram mereka di Tebing Barat dan Jerusalem dimiliki warga Palestin.

Pada 23 Disember lepas, Resolusi 2334 dilulus dengan sokongan 14 anggota UNSC yang membawa kepada kutukan PBB ke atas pencerobohan Israel berdekad lamanya itu.

Penempatan haram Israel selama ini dilihat sebagain pengancam solusi dua negara serta menghalang usaha damai Israel-Palestin.

Duta Besar Palestin ke Malaysia Datuk Dr Anwar al-Agha memuji Kerajaan Malaysia atas peranan pentingnya dalam resolusi UNSC itu.

Sebelum itu, Malaysia, New Zealand, Senegal dan Venezuela bersetuju campur tangan membentang draf resolusi menuntut Israel menghentikan penempatan haramnya di Palestin.

Bagi Anwar, pengundian bersejarah itu menjadi titik penting merintis jalan mencapai penyelesaian konflik Israel-Palestin yang berlarutan sekian lama.

Sebelum ini, Amerika Syarikat khususnya akan memveto apa sahaja pengundian yang dicapai jika ia mencabar kepentingan Israel.

Namun, ternyata kali ini di bawah Presiden AS Barrack Obama, AS mengambil sikap berkecuali dalam pengundian sehingga resolusi diluluskan.

Bercakap pada sidang akhbar selepas Majlis Ulang Tahun ke-52 Revolusi Palestin dan Penubuhan Pergerakan Pembebasan Kebangsaan Palestin (Fatah), Anwar melihat agenda utama pergerakan pembebasan itu sekarang ialah meningkatkan penglibatan masyarakat antarabangsa dengan memberi penjelasan akan nasib yang menimpa rakyat Palestin.

Menurut Anwar, pihaknya berharap dapat  mencapai persetujuan damai dan menubuh kerajaan perpaduan dalam kalangan semua kumpulan di Palestin terutama dengan Hamas.

Perpaduan ini penting bagi menamatkan pendudukan Israel di wilayah berdaulat Palestin. – Sarawakvoice

Leave a Reply