KUCHING: Naib Presiden Sarawak Energy Berhad (Agihan SEB) Siti Aisah Adenan dalam kenyataan akhbarnya, anak syarikatnya, Sesco Berhad (Sesco) mengalami tiga kes kecurian tembaga di stesen pencawang milik syarikat itu di Kuching dan Bintulu.

Perbuatan jenayah itu melibatkan kerugian sekitar RM790,000.

Di Kuching, suspek memasuki pencawang Sejingkat 33kV sempena sambutan Tahun Baru disyaki cedera kerana terdapat kesan darah suspek di tempat kejadian.

Manakala di Bintulu, suspek berjaya diberkas ketika melakukan jenayah terbabit 1 Januari lepas di Stesen Pencawang Tanjung Kidurong 33kV.

Sementara, kejadian pecah masuk di Stesen UPM 33kV, Rabu lalu menyebabkan berlakunya gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan 2,500 pengguna.

Siti Aisah berkata, kegiatan mencuri tembaga bukan sekadar menyebabkan gangguan bekalan elektrik bagi penduduk sekitar, malah ia satu aktiviti jenayah yang boleh mengancam nyawa.

Menurut beliau, sejak 2015, terdapat 374 kes vandalisme dan kecurian tembaga dilaporkan.

Pihak SEB mengeluarkan kos RM1.3 juta dalam tempoh dua tahun mengganti dan membaiki kerosakan akibat aktiviti jenayah seperti itu.

Siti Aishah dalam kenyataannya, meminta orang ramai melaporkan aktiviti jenayah seumpamanya di Pusat Khidmat Pelanggan SEB 1-300-88-3111 atau menerusi aplikasi SEB Cares. – Sarawakvoice