KUALA LUMPUR: Mohd Faiz Subri sedia menggayakan baju Melayu pada majlis Anugerah Puskas 2016 di Zurich, Switzerland, Isnin ini.

Setiausaha Agung Persa­tuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin mengesahkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memberi lampu hijau Faiz memakai pakaian tradisional ke majlis berprestij berkenaan.

Video gol menarik yang dihasilkan oleh Faiz, 29 pemain pasukan Pulau Pinang kini ditonton oleh 2.1 juta di YouTube.

Setakat ini tontonan tersebut meninggalkan jumlah tontonan dua pesaing peringkat akhir, Jonath Marlone Azevedo dari Brazil dan wakil tunggal Daniuska Rodriguez dari Venezuela.

Bagaimanapun dari segi undian, Faiz masih menduduki tempat ketiga, justeru peminat sukan tanah air diminta teruskan mengundi “gol cantik” Faiz yang undiannya akan ditutup pada Ahad ini.

Memakai sepersalinan busana tradisional bernilai RM3,000 hadiah Institut Seni Malaysia Melaka sudah pasti, kini Faiz memasang niat untuk berucap dalam bahasa Melayu di pentas sekiranya menang dan diberi peluang.

FAM turut menaja tiga tiket penerbangan kelas perniagaan ulang alik untuk isteri pemain berkenaan, Norzawanis Hashim, 29, serta dua anaknya, Akif Fayyadh, 4, dan Muhammad Aqil Zayyan berusia 8 bulan.

Mereka sekeluarga dijangka bertolak dari Pulau Pinang, Sabtu ini bersama-sama  Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Faiz bakal menerima durian runtuh apabila pihak kerajaan Kedah bersedia memberikan imbuhan menarik atas kejayaan pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah itu melakar sejarah arena bola sepak negara.

Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Aminuddin Omar, imbuhan di­sampaikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah kelak. – Sarawakvoice