Warga emas maut Perodua Kancil, Toyota Hilux berlanggar di Lundu

LUNDU: Seorang wanita maut setelah kenderaan Perodua Kancil yang ditumpanginya terbabit dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux berhampiran simpang tiga Jalan Lundu-Sematan petang semalam.

Pemangku Timbalan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Asisten Superintendan Mathew Manggie berkata, kemalangan berlaku sekitar jam 2 petang ketika kenderaan Perodua Kancil yang dipandu seorang lelaki berusia 52 tahun, yang dalam perjalanan darin Kuching ke Sematan hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

“Ia menyebabkan pemandu Toyota Hilux yang dalam perjalanan ke Kuching dari Lundu gagal mengelak lalu berlaku pertembungan.

“Impak pertembungan itu menyebabkan kenderaan Perodua Kancil tersebut remuk di bahagian hadapan manakala pacuan empat roda Toyota Hilux terhumban ke dalam parit.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 2.20 petang dan sebuah jentera serta ambulans EMRS dengan kekuatan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Lundu.

Setibanya di lokasi sekitar tujuh minit kemudian, pasukan mendapati seorang penumpang yang berada di kerusi hadapan penumpang Perodua Kancil tersepit dan mengalami kecederaan.

“Pasukan kemudian menggunakan ‘hydraulic rescue tools’ untuk mengeluarkan mangsa, seorang lelaki yang berusia 65 tahun.

Setelah dikeluarkan, mangsa diserahkan kepada pasukan paramedik untuk rawatan awal sebelum dikejarkan ke Hospital Lundu.

Jelas Mathew lagi, mangsa yang maut merupakan wanita yang berusia 75 tahun, iaitu kakak kepada lelaki yang parah, yang dikenal pasti sebagai Pajiah Matzen.

“Mangsa maut dalam perjalanan ke hospital setelah mengalami cedera parah.

Pemandu dan seorang lagi mangsa dalam kenderaan tersebut bagaimanapun hanya cedera ringan.

“Kesemua mangsa daripada kenderaan Perodua Kancil ini dipercayai dalam perjalanan dari Kuching untuk pulang ke Kampung Temaga Melayu, Sematan.

Katanya lagi, punca kemalangan masih disiasat dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Sarawakvoice