Tadika swasta berhak tentukan gaji guru, asalkan tepati gaji minimum

KUCHING: Asalkan menepati syarat gaji minimum bagi pekerja yang ditetapkan kerajaan, tiada jumlah gaji khusus diwajibkan untuk guru tadika swasta di Sarawak.

Isu berkaitan gaji guru tadika di negeri ini terserah kepada semua tadika swasta terbabit menentukan jumlah gaji guru masing-masing.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Fatimah Abdullah selepas lawatan hari pertama persekolahan Tadika Kemas RPR Astana, Petra Jaya pada Rabu berkata, pihak swasta berhak menentukan gaji sendiri.

Hanya syarat yang dikenakan ialah asalkan tiada guru terbabit menerima gaji lebih rendah daripada gaji minimum itu.

Fatimah mengulas permintaan guru tadika swasta di negeri ini yang mahu kadar bayaran gaji mereka mendapat perhatian kerana berbeza dengan bayaran gaji guru tadika di bawah agensi kerajaan.

Bagi Fatimah, guru tadika di bawah agensi kerajaan ada tangga gaji jawatan tersendiri mengikut gred kakitangan institusi kerajaan lain.

Sebaliknya, tadika swasta mempunyai penyeliaan tersendiri, ada yang mempunyai bilangan kanak-kanak yang sedikit dan waktu mengajar yang singkat berbanding kakitangan awam.

Terdapat juga tadika swasta yang menghadapi masalah kewangan akibat kos operasi yang besar.

Fatimah bagaimanapun, mengambil perhatian atas permasalahan yang diajukan dan sedia membincangkan masalah terbabit pada mesyuarat Majlis Pendidikan Awal Kanak-Kanak Sarawak. – Sarawakvoice