PKR: Pendidikan percuma jalan akhir kemelut PTPTN

KUALA LUMPUR:  Jalan penyelesaian bagi kemelut Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah melalui pendidikan percuma kepada anak muda di negara ini.

Keadaan pendidikan tinggi Malaysia pada hari ini banyak berpunca daripada penswastaan sektor itu,  kata Ketua Angkatan Muda Keadilan  (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, tujuan PTPTN ditubuhkan adalah untuk memberikan pelajar dana bagi melanjutkan pengajian.

“Ini membolehkan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) tumbuh seperti cendawan,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, purata yuran universiti di negara ini menurut satu laporan adalah AS$18,000 (RM80,946) manakala peratus gaji untuk yuran universiti ialah 55 peratus.

Sebagai perbandingan, peratus di Chile adalah 73 peratus, Amerika Syarikat 53 peratus, United Kingdom 42 peratus, Singapura 36 peratus dan Jepun 18 peratus.

“Kita sewajarnya beransur-ansur mengakhiri biasiswa sarjana muda JPA dan MARA ke luar negara. Dasar ini masuk akal ketika negara kekurangan universiti pada 1970-an dan 1980-an tetapi realiti hari ini sudah berubah,” ujarnya. – Sarawakvoice

Leave a Reply