Percaya atau tidak, guna ilmu hitam dalam perlawanan liga bola sepak

RWANDA: Rwanda Football Federation (Ferwafa) terpaksa mengumumkan penggunaan ilmu hitam tidak dibenarkan sama sekali dalam perlawanan anjurannya.

Menurut laman sesawang Vanguardngr.com pada 28 Disember 2016, pegawai bola sepak Rwanda berjanji mengambil tindakan tegas selepas insiden penggunaan ilmu hitam tertangkap video didakwa digunakan semasa Mukura Victory Sports menentang Rayon Sport dalam Liga Perdana Rwanda.

Ketika penjaga gol Mukura leka di luar petak gol, pemain Rayon, Moussa Camara, meluru ke arah gol lalu tunduk dan mengeluarkan “tangkal” yang tertanam pada tiang gol.

Penjaga gol Mukura yang dapat dilihat dalam rakaman video lain “menanam sesuatu” pada tiang gol, cuba menghalang Camara, namun gagal.

Camara dilihat kemudian menyerahkan suatu objek kepada pemain lain di bangku simpanan.

Paparan lain turut menunjukkan Camara  diberikan kad kuning oleh pengadil, tetapi tidak dapat dipastikan kaitan dengan tindakannya mengambil tangkal tersebut.

Insiden pelik itu, bagimanapun mengundang kontroversi apabila ternyata Camara menyumbat satu gol kemudian, pada detik terakhir empat minit sebelum permainan tamat untuk menyamakan kedudukan pada seri 1-1.

Timbalan Presiden Ferwafa, Vedaste Kayiranga dalam kenyataan berkata: “memandangkan tiada kaedah saintifik membuktikan penggunaan ilmu hitam, kita mengambil kira laporan pegawai perlawanan dan apa saja menyerupai amalan itu akan disiasat dan dipertimbangkan.”

Perwafa memutuskan mendenda mana-mana individu pemain yang dilihat menggunakan sihir atau ilmu hitam sebanyak 100,000 RWF.

Sementara, jika kelab terlibat mereka akan kehilangan tiga mata dan akan berdepan denda 2.9 juta RWF.

Jimmy Mulisa, bekas pemain antarabangsa Rwanda mengulas, “menyedihkan kita masih percaya pengaruh ilmu hitam dalam bola sepak, ia bukan sahaja memberi imej buruk kepada negara, tapi membunuh pembangunan bola sepak. – Sarawakvoice