KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mempertikaikan  mengapa ada orang sakit hati apabila mendapat tahu Datuk Seri Najib Razak  bercuti dengan keluarga, sedangkan percutian ialah perkara lumrah.

Beliau berpendirian Perdana Menteri berhak bercuti atas kedudukannya sebagai ketua negara yang sememangnya memerlukan masa rehat secukupnya.

Dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya ingin tahu, mengapa tiada pihak yang bertanya atau melahirkan rasa simpati terhadap Najib yang siang malam bekerja memikirkan bagaimana untuk memakmurkan rakyat termasuk masa depan orang Melayu.

“Perdana Menteri juga seperti pemimpin lain atau kakitangan kerajaan yang mempunyai waktu untuk bercuti termasuk bersama keluarga,” ujarnya.

“Kenapa tidak ada pula orang bertanya dan ambil tahu betapa Datuk Seri Najib telah bekerja tanpa mengira waktu dan masa untuk membangunkan negara dan rakyat? Soalnya.

“Jadi apabila ada perkhabaran mengatakan Najib telah pergi bercuti bersama keluarga bukan sesuatu isu yang perlu dipertikaikan.

Lagipun, ujar Syed Ali, seandainya Perdana Menteri bercuti, pentadbiran negara tidak akan terjejas kerana beliau masih mempunyai Timbalan Perdana Menteri dan barisan jemaah menteri.

“Perdana Menteri juga ada masa untuk berehat, tetapi sejak saya kenali beliau sekain lama, Najib jarang memgambil cuti, sebaliknya lebih 24 jam bertungkus lumus bekerja sama ada untuk negara dan parti (UMNO),” tambahnya.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan turut kesal kerana berita percutian Datuk Seri Najib bersama keluarga di Australia telah diputarbelitkan menjadi isu politik termasuk penggunaan jet kerajaan.

“Tidak salah bagi mana-mana Perdana Menteri atau ketua kerajaan menggunakan pesawat khas untuk bercuti.

“Ianya bukan satu larangan bagi Perdana Menteri menggunakan kemudahan tersebut.

Menurut Syed Ali, isu Perdana Menteri bercuti telah diviralkan menerusi media sosial yang cuba memberi gambaran buruk seolah-olah menjadi satu kesalahan besar kepada Najib untuk pergi bercuti.

Justeru, beliau menyifatkan usaha pihak tertentu memanipulasikan isu tersebut sebagai golongan yang sudah bankrap politik.