Lelaki berlumuran darah diserang guna parang di Kuching

KUCHING: Seorang lelaki parah selepas diserang menggunakan parang oleh seorang lelaki yang tidak dikenali di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai ketika mengesahkan perkara itu berkata, kejadian berlaku di bawah sebuah premis perniagaan di Jalan Padungan Utara, sekitar jam 9.07 pagi tadi.

“Ketika kejadian, mangsa yang dikenal pasti sebagai Andrian Ling Yew Huang
sedang berjalan berhampiran pejabatnya, tidak jauh dari pusat hiburan T1 Club di Padungan, dekat sini sebelum diserang dengan parang oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.

“Penyerang itu mendatangkan kecederaan kepadanya sebelum menghilangkan diri.

“Mangsa kemudian mendapatkan pertolongan daripada pekerja dan tetamu sebuah restoran yang terletak berhampiran.

Kata Abang Ahmad, mangsa kemudian memaklumkan kejadian itu kepada rakan dan majikannya, yang kemudian datang ke lokasi restoran sebelum menghantarnya ke Pusat Pakar Timberland untuk mendapatkan rawatan.

“Mangsa yang mengalami dua kesan luka di bahagian belakang badan dilaporkan mengalami kecederaan serius.

Menurut Abang Ahmad, pihaknya masih menunggu status kesihatan mangsa sebelum mendapatkan keterangan daripadanya mengenai apa yang terjadi.

“Ketika ini kita masih mengkaji motif serangan dan kenapa mangsa menjadi sasaran.

Setakat ini kita menolak motif rompakan,” jelasnya lagi.

Beliau juga menyeru orang ramai agar bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden ini. – Sarawakvoice