SRC International tak diheret ke mahkamah sebab tiada kes

Abdul Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR: SRC International Sdn Bhd  tidak diheret ke mahkamah selepas siasatan kerana didapati tidak ada kes terhadapnya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Menurut Abdul Rahman, Peguam Negara memutuskan sama ada sesuatu kes akan didakwa atau sebaliknya untuk mengelakkan mana-mana pihak daripada menyalahgunakan kuasa mereka, termasuk pihak yang menyiasat.

Dalam satu kenyataan Abdul Rahman berkata, jikalau pihak penyiasat mempunyai niat untuk menganiaya orang yang disiasat, maka pihak yang mendakwa boleh menghalang.

Beliau mengulas kenyataan bekas Pengarah Bahagian Siasatan Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Bahri Mohd Zin yang memilih untuk bersara awal kerana kecewa dengan kes SRC International.

Katanya, kalau pihak penyiasat dan pendakwa bersengkokol untuk menganiaya pihak yang disiasat dengan mendakwa orang yang disiasat itu, maka pihak mahkamah boleh menjadi hambatan kepada niat buruk mereka itu.

“Itulah tujuan kenapa kuasa menyiasat, kuasa mendakwa dan kuasa menghukum itu diasingkan oleh sistem perundangan kita,” katanya.

Menolak kenyataan Bahri, Abdul Rahman berkata, pandangan Bahri dalam kes SRC semestinya benar dan pandangan Peguam Negara itu salah.

“Hanya kerana Peguam Negara tidak bersetuju dengan rumusan beliau, tidak bermakna Peguam Negara telah melakukan kesalahan dan tidak mempunyai integriti,” katanya. – Sarawakvoice